Wednesday, November 12, 2008

PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

RINGKASAN

Kerajaan pada masa ini amat menitik beratkan isu ketelusan di kalangan anggota Perkhidmatan Awam dan isu Integriti Nasional sehingga membawa kepada pengwujudan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) kearah usaha untuk memastikan Malaysia adalah bebas daripada gejala rasuah. Kerajaan berhasrat agar kes-kes rasuah yang melibatkan pegawai dan kakitangan Kementerian, Jabatan dan Agensi dibentaras.

YAB Perdana Menteri Malaysia sedang berusaha bersungguhsungguh dalam menerapkan etika yang baik dan mempertingkatkan Integriti dalam semua perkara meliputi semua sektor selaras dengan usaha untuk mecapai wawasan 2020 kearah membentuk masyarakat yang warga negaranya mempunyai nilai-nilai murni yang kukuh.
Kesungguhan kerajaan untuk membina masyarakat maju mengikut acuan sendiri menerusi Pelan Integriti Nasional yang mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara.

PENJELASAN

Etika dan Integriti adalah dua kata kunci terpenting yang mendasari PIN.

Etika:
Adalah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

Integriti:
Secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari.


1. FALSAFAH PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip perlembagaan Persekutuan. Hakikat kehidupan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah satu kelebihan untuk dimanafaatkan. PIN berlandaskan kepada :-

1.1 Falsafah dan prinsip Rukun Negara iaitu membawa masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal
dan progresif (5 prinsip) Rukun Negara.

1.2 Di asaskan oleh falsafah dan cabaran wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah Negara maju mengikut
acuan sendiri menjelang tahun 2020.

1.3 Pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat untuk kesejahteraan masyarakat dan negara, mengambilkira
perkembangan antarabangsa, pengalaman negara lain dan impak globalisasi.


2. KONSEP (PIN)

Sebuah Pelan Induk yang bertujuan memberi hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. Membina sebuah masyarakat yang bermoral, beretika dan berintegriti. Satu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah bagi menambah baik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya.

Pendekatan PIN ialah mengkoordinasikan semua komponen dan sektor dalam pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan Institusi Governan Negara iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman supaya mempertingkatkan integriti mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan. PIN juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakt supaya merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi perlaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti masyarakat dan negara.


3. OBJEKTIF UMUM (PIN)

Adalah untuk merealisasikan hasrat wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika dengan para warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan didasari oleh budi pekerti yang luhur.


4. OBJEKTIF KHUSUS (PIN)

Objektif khusus PIN adalah seperti berikut :-

4.1 Memberikan halatuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakt yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.

4.2 Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.


4.3 Menggalakan semangat bertanggungjawab dikalanganvanggota masyarakat serta mendorong perkembangan
masyarakat Sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cerdas menegakkan integriti.

4.4 Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat, negara dan peningkatan kesejahteraan
hidup anggota masyarakat.

4.5 Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya
cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.


5. SASARAN (PIN) 2004-2008 (TEKAD 2008)

Jangka masa lima tahun selepas pelancaran dan perlaksanaan PIN ditetapkan sebagai fasa pertama. Sasaran ini dikenali sebagai TEKAD 2008. Ini akan memberi keutamaan kepada 5 sasaran yang hendak dicapai iaitu:-

5.1 Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.

5.2 Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerana birokrasi.

5.3 Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.

5.4 Memantapkan institusi keluarga dan komuniti.

5.5 Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

No comments: