Wednesday, November 12, 2008

PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

RINGKASAN

Kerajaan pada masa ini amat menitik beratkan isu ketelusan di kalangan anggota Perkhidmatan Awam dan isu Integriti Nasional sehingga membawa kepada pengwujudan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) kearah usaha untuk memastikan Malaysia adalah bebas daripada gejala rasuah. Kerajaan berhasrat agar kes-kes rasuah yang melibatkan pegawai dan kakitangan Kementerian, Jabatan dan Agensi dibentaras.

YAB Perdana Menteri Malaysia sedang berusaha bersungguhsungguh dalam menerapkan etika yang baik dan mempertingkatkan Integriti dalam semua perkara meliputi semua sektor selaras dengan usaha untuk mecapai wawasan 2020 kearah membentuk masyarakat yang warga negaranya mempunyai nilai-nilai murni yang kukuh.
Kesungguhan kerajaan untuk membina masyarakat maju mengikut acuan sendiri menerusi Pelan Integriti Nasional yang mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara.

PENJELASAN

Etika dan Integriti adalah dua kata kunci terpenting yang mendasari PIN.

Etika:
Adalah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

Integriti:
Secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari.


1. FALSAFAH PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)

Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip perlembagaan Persekutuan. Hakikat kehidupan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah satu kelebihan untuk dimanafaatkan. PIN berlandaskan kepada :-

1.1 Falsafah dan prinsip Rukun Negara iaitu membawa masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal
dan progresif (5 prinsip) Rukun Negara.

1.2 Di asaskan oleh falsafah dan cabaran wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah Negara maju mengikut
acuan sendiri menjelang tahun 2020.

1.3 Pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat untuk kesejahteraan masyarakat dan negara, mengambilkira
perkembangan antarabangsa, pengalaman negara lain dan impak globalisasi.


2. KONSEP (PIN)

Sebuah Pelan Induk yang bertujuan memberi hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. Membina sebuah masyarakat yang bermoral, beretika dan berintegriti. Satu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah bagi menambah baik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya.

Pendekatan PIN ialah mengkoordinasikan semua komponen dan sektor dalam pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan Institusi Governan Negara iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman supaya mempertingkatkan integriti mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan. PIN juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakt supaya merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi perlaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti masyarakat dan negara.


3. OBJEKTIF UMUM (PIN)

Adalah untuk merealisasikan hasrat wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika dengan para warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan didasari oleh budi pekerti yang luhur.


4. OBJEKTIF KHUSUS (PIN)

Objektif khusus PIN adalah seperti berikut :-

4.1 Memberikan halatuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakt yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.

4.2 Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.


4.3 Menggalakan semangat bertanggungjawab dikalanganvanggota masyarakat serta mendorong perkembangan
masyarakat Sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cerdas menegakkan integriti.

4.4 Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat, negara dan peningkatan kesejahteraan
hidup anggota masyarakat.

4.5 Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya
cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.


5. SASARAN (PIN) 2004-2008 (TEKAD 2008)

Jangka masa lima tahun selepas pelancaran dan perlaksanaan PIN ditetapkan sebagai fasa pertama. Sasaran ini dikenali sebagai TEKAD 2008. Ini akan memberi keutamaan kepada 5 sasaran yang hendak dicapai iaitu:-

5.1 Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.

5.2 Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerana birokrasi.

5.3 Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.

5.4 Memantapkan institusi keluarga dan komuniti.

5.5 Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
TONGGAK DUA BELAS

Dalam "Seminar Nilai dan Etika" pada 2 Mac 1992, Dato’ Seri Ahmad Sarji telah menggariskan satu set panduan etika untuk kakitangan awam, yang kini dikenali sebagai Tonggak Dua Belas. Melalui penghayatan dan praktis Tonggak Dua diharapkan Perkhidmatan Awam akan menjadi badan yang "cekap dan berkualiti".

Tonggak Dua Belas adalah penjelasan mengenai konsep nilai, norma dan etika dalam kehidupan manusia. Tonggak Dua Belas perlu menjadi amalan semua peringkat kakitangan awam disemua peringkat organisasi. Ia merupakan panduanpanduan, contoh-contoh nilai murni dan etika serta amalan-amalan baik yang perlu diamalkan bagi mengelakkan unsur-unsur yang negatif.


Semua tonggak dan conton-contoh yang dikemukakan menekankan aspek-aspek peribadi seseorang. Ianya didasarkan kepada kepercayaan bahawa nilai-nilai yang penting akan membentuk peribadi tertentu. Peribadi ini seterusnya akan mempengaruhi pembentukan sesebuah organisasi.


Sesungguhnya sasaran asal Tonggak Dua Belas ini ialah untuk kakitangan jabatan awam, namun sektor, swasta juga dapat turut menerimapakainya. Sama ada sesebuah agensi itu dikategorikan sebagai awam atau swasta, "kecemerlangan" seperti mana kata YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir, patut menjadi komitmen kita (http://www.smpke.jpm.my/gn data/ucapan.pm/1993/931112.txt).


Berikut adalah senarai nilai dalan Tonggak Dua Belas untuk dihayati dan diamalkan oleh kakitangan awam:

• Menghargai Masa
• Ketekunan Membawa Kejayaan
• Keseronokan Bekerja
• Kemuliaan Kesederhanaan
• Ketinggian Peribadi
• Kekuatan Sifat Baik Hati
• Pengaruh Teladan
• Kewajipan Menjalankan Tugas
• Kebijaksanaan Berhemat
• Keutamaan Kesabaran
• Peningkatan Bakat
• Nikmat Mencipta


1. MENGHARGAI MASA

Masa tidak ternilai harganya dan datangnya sekali sahaja seumur hidup. Maksudnya, apabila hilang, tidak akan ada gantinya lagi. Dengan demikian, masa yang berlalu secara yang tidak berfaedah merupakan modal yang telah lesap.

Banyak petikan yang boleh diberi untuk mengambarkan nilai masa. Al-Quran (Surah Al’ –Asr 103: 1-3) memperingati manusia tentang masa. Dalam semua budaya juga terdapat kata-kata hikmat yang menyentuh keperihalan mahalnya masa, contohnya "Time and tide wait for no man". Dipermukaan grandfather clock kerap terdapat peringatan dalam bahasa Latin iaitu "tempus fugit" , maksudnya, time flies. Peribahasa kita sendiri mengatakan "masa itu emas"!


Di tempat kerja ada beberapa amalan positif untuk tidak membazirkan masa. Misalnya apabila membuat sesuatu kerja, "Do it right the first time", supaya tidak perlu diulang sekali lagi. Perancangan kerja yang teliti juga akan menjamin kerja berjalan lancar dan masa dijimatkan. Oleh yang demikian, antara nilai yang diutamakan dalam menghargai masa ialah:

(i) segerakan tindakan
(ii) tepati masa
(iii) rancang masa dan tugas
(iv) menyelesaikan tugas pada masa yang ditetapkan


Amalan-amalan negatif pula akan mengakibatkan pembaziran masa. Misalnya mencuri tulang semasa bertugas atau berbual-bual kosong.

2. KETEKUNAN MEMBAWA KEJAYAAN


Ketekunan membawa gambaran kesungguhan dan kesabaran. Orang yang tekun tidak menerima kekalahan. Genggam bara api biar jadi arang, kata orang tua-tua. Orang Islam pula sedia maklum bahawa Allah sentiasa bersama dengan mereka yang sabar (al-Quran Surah Al-Baqarah 2:153

Kakitangan yang tekun bersifat dedikasi dan berdisiplin. Orang yang berdisiplin, bekerja apabila diperlukan bekerja, manakala mereka yang tidak berdisiplin pula tidak bekerja atau curi tulang semasa mereka sepatutnya bekerja. Ketabahan diperlukan apabila berhadapan dengan masalah, besar atau kecil. Setiap halangan adalah cabaran dan bukanya pematah semangat.


Dalam usaha melaksanakan inovasi, ketekunan juga diperlukan. Sikap "hangat-hangat tahi ayam" tidak boleh dijadikan modal, sebaliknya contohi semangat "kaizen" (lakukan sesuatu secara berterusan dan berkesinambungan), seperti yang diamalkan dalam budaya kerja Jepun (http://www.jpa.gov.my/korporat/perasmi.html).


Secara ringkasnya, nilai-nilai yang perlu dipupuk untuk memastikan kejayaan antaranya ialah:

(i) bersemangat gigih dan tekun
(ii) berdisiplin
(iii) dedikasi
(v) cekal
(vi) berpandangan jauh
(vii) inovatif dan kreatif


3. KESERONOKAN BEKERJA


Kerja jika dianggap ibadat, tidak akan menjadi chore yang membeban dan membosankan. Penerimaan hakikat ini akan mendatangkan kepuasan kerja, dan semangat untuk terus menerus menjalankan tugas. Manusia yang seronok bekerja bersifat proaktif (Covey 1990: 66-94)


Bagi seorang ketua pula, minat dan penghargaan yang ditunjukkan kepada usaha-usaha pekerjanya akan menjadi punca motivasi.
Antara nilai-nilai yang perlu dititik beratkan dlalam mewujudkan keseronokan bekerja ialah:
(i) kerja adalah ibadah
(ii) menghasilkan sesuatu yang berfaedah
(iii) komitmen terhadap kerja
(iv) sedia bekerjasama

4. KEMULIAAN KESEDERHANAAN

Satu sifat terpuji ialah bersederhana dalam semua perkara; tidak keterlaluan, memilih jalan pertengahan antara dua extremes. Orang Islam telah diperingatkan bahawa sebaik-baik pekerjaan itu yang sederhana. Kesederhanaan akan menjamin tidak berlakunya pemborosan.
Antara sifat yang patut diamalkan ialah:
(i) sederhana dalam semua aspek kehidupan
(ii) tidak membazir
(iii) adil dalam tindakan
(iv) bersikap terbuka
(v) berjimat cermat

Mereka yang bersikap keterlaluan dalam urusan, antara lainnya, suka menunjuk-nunjuk. Kerapa kali pula mereka ini terdiri daripada golongan munafik yang suka berpura pura.

5. KETINGGIAN PERIBADI

Ketinggian peribadi mencerminkan harga diri seseorang, Antara petunjuknya adalah tutur-kata yang sopan dan tingkah laku yang menyenangkan mata memandang.Keikhlasannya juga nyata, bukan dibuat-buat. Sekalipun dia menduduki tempat sebagai ketua dalam sesuatu organisasi, dan tidak angkuh, boleh menegur dan ditegur. Maruah orang bawahannya sentiasa dipelihara.
Oleh itu antara sifat ketinggian peribadi seseorang ialah:
(i) bersopan santun
(ii) amanah
(iii) saling hormat-menghormati
(iv) sedia membantu

Sebaliknya, kemudahan peribadi dapat diukur, antara lainnya, daripada perbuatan suka mencari kesalahan orang lain, tidak amanah, menyalahgunakan kedudukan dan tidak ikhlas dalam segala tindaktanduknya.
6. KEKUATAN SIFAT BAIK HATI

Tersangat banyak sifat terpuji pada diri orang yang menghayati nilai ini. Sebagai ketua dia kaya dengan sifat peri kemanusiaan: simpati, suka menolong orang bawahannya, sedia memberi tunjuk-ajar dan adil dalam keputusannya. Salahuddin Al-Ayubi dikatakan dihormati oleh pengikut- pengikutnya dan dikagumi oleh musuh-musuhnya. Pernah dia menangguh serangan ke atas sebuah kubu orang Kristian, kerana seorang knight sedang melangsungkan upacara perkahwinannya pada ketika itu.
Antara sifat baikhati yang perlu dipraktikkan ialah:
(i) adil
(ii) sedia menerima teguran
(iii) bertimbang rasa
(iv) prihatin terhadap kebajikan

7. PENGARUH TELADAN

Satu sifat yang dicela pada diri seorang ketua ialah dia yang berkata, "buat seperti apa yang aku kata, bukan seperti apa yang aku buat". Ini sama saja seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dalam banyak kes pula, teladan buruk apabila ditiru, ditiru dengan terlebih buruk lagi!

Kerajaan kita pada hari ini berpandu kepada prinsip kepimpinan melalui teladan. Lebih mudah mengajar melalui teladan yang baik daripada sematamata memberi arahan.
Oleh itu sifat-sifat yang perlu diamalkan ialah:
(i) berkelakuan baik
(ii) amanah
(iii) telus dalam prosedur
(iv) bermoral tinggi

8. KEWAJIPAN MENJALANKAN TUGAS

Apabila seseorang telah menerima sesuatu tugas, maka wajiblah baginya menyempurnakan tugas tersebut. Dalam menjalankan tugas pula sikap yang tepat ialah beriltizam menyempurnakannya dengan penuh tanggung jawab, bukan sekadar memenuhi syarat saja.

Dalam Islam, mengelak daripada menjalankan tugas bermakna lari daripada tanggungjawab. Hukumnya, berdosa. Ada orang yang "mencuri" waktu pejabat, berniaga secara sambilan, seperti menjadi pengedar barangan solek dan pinggan-mangkuk. Pendapatan daripada perniagaan sebegini – yang menggunakan waktu "curi" ini adalah haram. Dalam hal menjalankan tugas ini, kecekapan dan ke profesionalisme adalah menjadi kayu ukur yang dikehendaki.
Oleh yang demikian antara sifat yang perlu diamalkan ialah:
(i) bertanggungjawab
(ii) tekun dan sabar
(iii) mengutamakan kerja
(iv) pentingkan kualiti

9. KEBIJAKSANAAN BERHEMAT

Berhemat ertinya berjimat-cermat, tidak boros. Boros atau pembaziran adalah dikutuk, dikatakan sahabat syaitan. Dalam kajian yang dibuat di Amerika tentang mereka yang mantap kedudukan kewangannya, satu faktor yang sentiasa terdapat pada setiap mereka ini adalah berhemat dalam perbelanjaan mereka, yakni tidak pernah melebihi pendapatan.

Di tempat kerja, amalan berhemat dapat dipraktikkan dalam pelbagai situasi. Misalnya dalam penggunaan alat tulis, dan elektrik. Kertas yang telah dipakai pada sebelah halaman boleh digunakan sebagai scratch paper; lampu bilik air ditutup selepas digunakan; kipas dan hawa dingin elok ditutup semasa waktu rehat.
Oleh yang demikian antara sifat yang perlu dipupuk bagi menjayakan usaha berhemat ialah:
(i) tidak membazirkan harta kerajaan
(ii) bertanggungjawab terhadap harta kerajaan
(iii) menggunakan harta kerajaan mengikut keperluan

Di samping itu, janganlah pula bakhil. Bakhil ialah enggan mengeluarkan belanja pada perkara-perkara yang diperlukan. Natijahnya ialah prestasi akan menurun dan produktiviti terjejas.

10. KEUTAMAAN KESABARAN

Kesabaran mempunyai kaitan dengan ketekunan. Orang yang sabar dapat menerima kegagalan sebagai cabaran untuk terus berjuang. Dalam Islam, kesabaran adalah sifat terpuji.. Lumrah diketahui bahawa tidak ada kemenangan atau kejayaan tanpa kesabaran. Dalam sejarah perjuangan Rasulllah s.a.w., penentangan daripada pembesar-pembesar Quraisy tidak mematahkan semangat perjuangan beliau. Berkat kesabaran, akhirnya Islam
diterima dan berkembang.

Demikian juga, jika kita mengkaji sejarah reka cipta, Edison, Bell, Marconi, Baird dan lain-lain pereka cipta berjaya lantaran kesabaran. Pemimpin yang sabar akan mewujudkan pentadbiran yang inovatif, kreatif dan dinamik. Dia tidak takut mencuba dan tidak jemu mencari alternatif-alternatif. Dalam hubungan interpersonal pula, kesabaran adalah satu aset, terutama dalam menghadapi kerenah orang lain.
Oleh itu kesabaran dalam mengusahakan sesuatu pekerjaan amat penting dengan mengambil kira
pemupukan sifat-sifat berikut:
(i) sedia menghadapi tekanan masa dan ruang
(ii) tidak mudah putus asa
(iii) sedia menyahut cabaran

11. PENINGKATAN BAKAT

Bakat sebenarnya adalah manifestasi kecerdikan, mengikut teori multiple intelligences. Orang yang berbakat dalam sesuatu lapangan akan dapat menghasilkan kerja yang bermutu. Muzik ciptaan P. Ramlee hidup segar hingga ke hari ini kerana muziknya itu adalah cetusan bakatnya.

Bakat jika tidak dipupuk dan dipertingkatkan menjadi sia-sia. Sebaliknya, jika diperitingkatkan, individu itu sendiri dan organisasinya juga akan turut menerima faedahnya. Dibawah konsep Persyarikatan Malaysia, negara juga akan turut mendapat keuntungan daripada peningkatan bakat individuindividu; kejayaan sektor swasta akan mempengaruhi juga sektor awam.
Ketua jabatan wajar mengenal pasti orang bawahannya yang berbakat serta menggalakkan bakat tersebut dipertingkatkan. Idea-idea janganlah disekat, lantaran hasad dengki, tetapi hendaklah digalakkan untuk dikembangkan. Dalam ucapan YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir sempena perasmian Kompleks Jabatan Perkhidmatan Awam, beliau menegaskan tentang perlunya "menajamkan bakat yang sedia ada pada seseorang" (http://www.jpa.gov.my/korporat/perasmi.html).

12. NIKMAT MENCIPTA

Bahan utama yang diperlukan untuk mencipta ialah kreativiti. Idea-idea lateral seperti dipelopori dan dikembangkan oleh Edward de Bono (Edward de Bono 1990 dan 1996) dapat membantu mencipta sesuatu. Di jabatan- jabatan kerajaan banyak tradisi kerja yang boleh digantikan dengan yang baru. Misalnya, tradisi pegawai atasan mengelak daripada berjumpa dengan pelanggan. Dalam perbankan, biasanya pelanggan datang ke bank untuk menyelesaikan urusan, misalnya pinjaman. Tetapi, hari ini ada bank yang menghantarkan pegawainya untuk mendapatkan tanda tangan piminjam yang sedang menunggu penerbangan di lapangan terbang.

Banyak idea yang pada mulanya nampak janggal atau "gila-gila", akhirnya diterima dengan baik, misalnya konsep "sekolah dalam taman". Idea menerbitkan kereta nasional kita pada masa mula-mula dicadangkan dahulu telah mentertawakan sesetengah pihak. Tetapi, kini nyatalah idea itu sesuatu yang hebat.